Isnin, 24 November 2014 | 6:06pm
TIMBALAN Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri. - Foto Roslin Mat Tahir
TIMBALAN Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri. - Foto Roslin Mat Tahir

Kajian impak TPPA dibuat terhadap semua PKS

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri menolak dakwaan kononnya kerajaan hanya membuat kajian impak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera sahaja.

Beliau berkata, analisis kos faedah yang sedang dijalankan oleh kementerian mengenai kesan TPPA mengambil kira semua PKS di negara ini.

"Tiada isu mengenai kajian impak TPPA terhadap PKS Bumiputera sahaja kerana analisis kos faedah yang sedang dibuat merangkumi semua PKS di negara ini," katanya kepada Bernama di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Charles Santiago (DAP-Klang) dalam satu sidang media di Parlimen yang meminta kerajaan menjalankan kajian impak TPPA terhadap semua PKS di negara ini dan bukan hanya tertumpu kepada PKS Bumiputera sahaja.

TPPA ialah cadangan perjanjian perdagangan bebas yang membabitkan 12 negara, iaitu Amerika Syarikat, Malaysia, Singapura, Vietnam, Kanada, Australia, Jepun, Peru, New Zealand, Chile, Mexico dan Brunei, dan rundingan mengenai cadangan itu masih berjalan lagi. - BERNAMA

Berita Harian X