Selasa, 18 November 2014 | 1:37pm

FBM KLCI naik pada tengah hari

KUALA LUMPUR: Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meneruskan kenaikan awalnya untuk ditutup sedikit tinggi pada tengah hari ini, mendapat rangsangan daripada belian dalam saham mewah terpilih dan saham wajaran tinggi.

Pada rehat tengah hari, indeks utama itu naik 4.55 mata kepada 1,811.03 selepas turun naik antara 1,805.35 dan 1,812.16 pada dagangan pagi, dengan permintaan dilihat dalam kaunter DiGi, Axiata dan TNB, yang menyumbang 5.11 mata kepada kenaikan itu.

DiGi naik 20 sen kepada RM6.15, Axiata meningkat lapan sen kepada RM7.09, manakala TNB menokok 12 sen kepada RM13.62.

Seorang peniaga berkata dagangan positif semalaman di Wall Street dan ura-ura pasaran mengenai pemulihan ekonomi Jepun mencetuskan sentimen positif dalam pasaran ekuiti serantau.

"Pasaran menjangkakan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe akan mengumumkan beberapa langkah rangsangan seterusnya dan menangguhkan kenaikan cukai jualan," katanya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas naik 27.13 mata kepada 12,503.1, Indeks FBMT100 meningkat 26.97 mata kepada 12,173.93, FBM 70 menokok 16.03 mata kepada 13,571.23, Indeks FBM Emas Syariah menambah 32.56 mata kepada 12,974.2 manakala FBM ACE melonjak 86.51 mata kepada 6,424.8.

Dari segi sektor, Indeks Kewangan meningkat 17.33 mata kepada 16,398.16, tetapi Indeks Perladangan turun 59.51 mata kepada 8,259.03, dan Indeks Perusahaan susut 8.15 mata kepada 3,266.79.

Jumlah dagangan berjumlah 784.91 juta saham bernilai RM657.85 juta.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 333 berbanding 311, manakala 294 kaunter tidak berubah, 752 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Mengenai saham wajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM9.58, Public Bank meningkat empat sen kepada RM18.30, tetapi Sime Darby berkurangan satu sen kepada RM9.64.

Dalam kalangan kaunter cergas, Systech naik 3.5 sen kepada 23 sen dan Perisai Petroleum meningkat empat sen kepada 71.5 sen. - BERNAMA

Berita Harian X