Isnin, 10 November 2014 | 11:08am

Southville City, dorong pertumbuhan Mah Sing

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd menjangkakan fasa 1 dan 2 projek perbandaran baharu, Southville City di Bangi, Selangor akan habis dijual menjelang awal tahun depan.

Ketua Pegawai Operasi, Ong Chou Wen, berkata Southville City yang terletak hanya kira-kira 25 kilometer dari pusat Bandaraya Kuala Lumpur, adalah perbandaran terbesar kumpulan itu membabitkan pembangunan unit kediaman dan komersial berstatus pegangan bebas.

Setakat ini 75 peratus daripada projek berkenaan yang dibangunkan bagi memenuhi permintaan pasaran dan direka khusus untuk kumpulan berpendapatan sederhana, sudah dijual dan pihaknya sudah mula membuka tempahan untuk fasa 3 dan 4 projek berkenaan.

"Keseluruhan pembangunan Southville City membabitkan tujuh fasa dan dijangka siap sepenuhnya pada 2020," katanya dalam taklimat media di Kuala Lumpur, semalam.

Projek Southville City seluas 171.2 hektar dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM8.3 bilion.

Fasa 1 dan 2 Southville City membabitkan pembangunan hartanah kediaman dengan keluasan 956 hingga 1,107 kaki persegi dikenali Suite Eksekutif Savanna dan komponen komersial, Savanna Lifestyle Shops yang menawarkan pejabat kedai dua tingkat dengan keluasan lantai daripada 2,461 kaki persegi.

Suite Eksekutif Savanna ditawarkan pada harga bermula RM338,000, manakala Savanna Lifestyle Shops dijual pada harga bermula RM1.44 juta.

Projek itu turut menawarkan rumah teres dua setengah tingkat yang dijual pada harga antara RM892,800 dan RM1,232,800 seunit.

Ong berkata, selain bagi memenuhi permintaan pasaran dan direka khusus untuk kumpulan berpendapatan sederhana, Southville City juga dibangunkan dengan mengambil kira kesesuaian dan keperluan kehidupan berkeluarga.

Antara kelebihan utama projek itu ialah pelan induk perbandarannya turut meliputi pembangunan komersial sepanjang dua kilometer berhadapan Lebuh Raya Utara-Selatan serta pembinaan persimpangan baharu khusus yang menghubungkannya ke lebuh raya berkenaan, sekali gus memberikannya kelebihan akses.

Berita Harian X