Jumaat, 24 Oktober 2014 | 10:13am

Projek pemangkin di PIPC tarik minat pelabur ke Pengerang - JPDC

JOHOR BAHRU: Pembabitan PETRONAS dan Dialog Group Bhd dalam projek pemangkin berkaitan pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) telah menarik minat pelabur industri hiliran minyak dan gas yang lain untuk meninjau peluang di Pengerang.

Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Corporation (JPDC), Mohd Yazid Jaafar, berkata keupayaan PIPC menyediakan peluang untuk syarikat pembekal perkhidmatan untuk melengkapkan ekosistem industri hiliran minyak dan gas turut menjadi perhatian.

"Kehadiran dua projek pemangkin itu (PETRONAS dan Dialog) telah menarik minat pelabur dalam industri hiliran minyak dan gas untuk meninjau peluang mengembangkan perniagaan mereka di Pengerang, sama ada dalam bidang pelengkap kedua-dua projek atau dalam industri sokongan," katanya kepada BERNAMA baru-baru ini.

Projek pemangkin pertama di PIPC membabitkan pembangunan Terminal Petroleum Laut Dalam Pengerang (PDPT) yang diusahakan bersama Dialog, Royal Vopak dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (SSI) dengan nilai pelaburan sebanyak RM5 bilion.

Dialog dan dua rakan kerjasamanya juga akan melabur RM4 bilion untuk membina kemudahan gas asli cecair.

Bagi pelaburan pemangkin kedua di PIPC pula, PETRONAS akan melabur RM89 bilion dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) membabitkan RM53 bilion dalam loji penapisan minyak serta petrokimia dan RM36.3 bilion untuk kemudahan dan prasarana sokongan yang berkaitan.

Untuk menarik lebih banyak pelabur ke PIPC, JPDC juga bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Johor State Investment Centre (JSIC).

"Sebagai agensi kerajaan persekutuan yang diberi mandat untuk menyelaras dan memudah cara pelaburan dan pembangunan industri hiliran minyak dan gas di PIPC, JPDC juga sentiasa berhubung dan berbincang dengan syarikat dan usahawan di dalam dan luar negara yang menunjukkan minat untuk melabur di PIPC," kata nya.

Selain kawasan yang digunakan oleh projek RAPID dan PDPT, masih ada lagi kawasan yang berpotensi dimajukan untuk pembangunan bersepadu petroleum dan petrokimia yang lain, katanya.

Bagaimanapun, pelaburan sebegini melibatkan modal yang tinggi dan komitmen jangka panjang, oleh itu banyak aspek perlu dikaji dan diperhalusi.

Seperti contoh, beliau berkata PETRONAS mengambil masa hampir dua tahun sebelum membuat keputusan muktamad pelaburan (FID) di PIPC pada April tahun ini.

"Berdasarkan kemudahan dan kapasiti yang sedang dibangunkan, Johor, terutama PIPC, bersedia untuk menerima pelanggan dalam kalangan negara pengeluar dan pengguna minyak," katanya.

Menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa projek PIPC terutama RAPID kini mengalami kelewatan, beliau berkata keluasan tanah bagi projek PIPC sahaja mencecah 8,335 hektar, manakala projek RAPID pula melibatkan lebih 2,000 hektar.

Projek RAPID, katanya, bakal mempunyai kemudahan dan industri hiliran yang lebih banyak berbanding kemudahan dan industri di Kertih, Gebeng dan Melaka jika digabungkan.

"Untuk projek sebesar dan sebesar RAPID, kami jangkakan akan ada sedikit kelewatan dalam kerja-kerja komponen pembangunan tertentu, tetapi secara amnya, projek berjalan mengikut jadual," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X