Selasa, 21 Oktober 2014 | 3:53pm
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)

Penyelesaian Predix manfaat sektor minyak dan gas - MIDA

KUALA LUMPUR: Penyelesaian Predictivity (Predix) yang ditawarkan gergasi industri Amerika Syarikat, General Electric (GE), akan memberi manfaat kepada sektor minyak dan gas Malaysia untuk menampung keperluan serantau yang meningkat.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Phang Ah Tong berkata penyelesaian menggunakan perisian yang diperkenal GE akan mengimbangi data besar daripada mesin dan analisis jangkaan mengenai sektor minyak dan gas.

"Kami harap dengan mengguna pakai penyelesaian ini akan membantu sektor minyak dan gas untuk kekal sebagai penyumbang terbesar dari segi pelaburan di Malaysia diikuti sektor kimia dan elektronik," katanya pada pelancaran Predix dan perasmian iCentre milik GE, di sini hari ini.

Phang berkata untuk tempoh tujuh bulan pertama 2014, MIDA meluluskan 13 projek dalam sektor minyak dan gas dengan jumlah pelaburan RM15.4 bilion, sekali ganda daripada RM7.05 bilion bagi 18 projek yang diluluskan tahun lalu.

Pelaburan utama tahun ini datang daripada projek Penapisan dan Pembangunan Bersepadu Petrokimia (RAPID) di Pengerang.

Pada majlis itu GE turut melancarkan pembukaan GE iCentre di sini bagi mendorong peserta minyak dan gas utama lain datang dan mewujudkan organisasi mereka di sini.

GE iCentre di sini berintegrasi sepenuhnya dengan dua lagi pusat GE iaitu di Florence, Itali dan Houston, Texas.

"Pusat ini akan berperanan sebagai platform bagi pemantauan dan perkhidmatan diagnostik 24 jam sehari tujuh hari seminggu kepada semua pelanggan GE di seluruh dunia termasuk PETRONAS.

"Ini akan memberi jaminan kepada pelanggan GE untuk mendapatkan akses langsung pakar ketika masa-masa kritikal," kata Phang. - BERNAMA

Berita Harian X