Selasa, 14 Oktober 2014 | 10:17pm

IBS akan segerakan pembinaan rumah mampu milik - CIDB

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mahu bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan dan pemaju perumahan untuk meningkatkan penggunaan komponen Sistem Binaan Industri (IBS) membina 143,000 unit rumah mampu milik yang diumumkan dalam Bajet 2015.

"Pembinaan sejumlah 143,000 rumah berkenaan, tidak akan tercapai tanpa penggunaan IBS kerana konsep pembuatan komponen binaan di kilang akan mengurangkan masa yang diambil untuk pembinaan, mengurangkan jumlah pekerja dan juga mampu mempertingkatkan kualiti pembinaan," kata Ketua Eksekutif, Datuk Seri Ir Dr Judin Abdul Karim dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, CIDB memuji langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan pembinaan sejumlah besar rumah mampu milik yang akan menangani isu pemilikan rumah.

Dalam Bajet 2015, kerajaan mengumumkan pembinaan 80,000 unit rumah PR1MA, 26,000 rumah Program Perumahan Rakyat dan 12,000 Rumah Mesra Rakyat, 5,000 Rumah Idaman Rakyat dan 20,000 Rumah Aspirasi Rakyat di bawah SPNB.

Beliau berkata, pengumuman mengenai beberapa projek pembangunan utama dalam Bajet 2015 akan memberi kesan positif kepada sektor pembinaan.

Perbelanjaan pembangunan sebanyak RM50.5 billion, iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding RM42.2 billion pada 2014 adalah strategi yang mampu menjana pembangunan ekonomi negara.

"CIDB berharap semua projek pembangunan infrastruktur dan perumahan yang diumumkan akan dapat dilaksanakan pada tahun 2015. Ini akan dapat memastikan pertumbuhan sektor pembinaan dapat dikekalkan pada tahap dua digit seperti sebelumnya," katanya.

Sehubungan itu, Judin berkata, CIDB akan mempertingkatkan latihan dan akreditasi peserta sektor binaan pada tahun 2015 bagi memenuhi permintaan industri.

Pada tahun 2015, CIDB merancang melatih seramai 30,000 pekerja binaan, 25,000 profesional dan 5,000 penyelia tapak bina serta memberi akreditasi kelayakan kepada 40,000 pekerja binaan di dalam pelbagai bidang.

Judin berkata, pihaknya juga berharap kerajaan akan turut memberikan insentif elaun modal perbelanjaan automasi pada bajet akan datang seperti yang diberikan kepada sektor perkilangan pada Bajet 2015.

"Insentif itu akan menggalakkan pelaburan syarikat pembinaan di dalam mekanisasi dan automasi, justeru mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, dan seterusnya meningkatkan kadar produktiviti," katanya.

Berita Harian X