Jumaat, 10 Oktober 2014 | 5:00pm

Ekonomi disasar berkembang 5.5-6 peratus tahun ini - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata ekonomi Malaysia tahun ini dijangka berkembang kukuh pada antara 5.5 peratus dan 6.0 peratus manakala antara 5.0 peratus dan 6.0 peratus pada 2015.

Perdana Menteri berkata, pada tahun ini defisit fiskal dijangka terus turun kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) manakala pada 2015 defisit disasar turun kepada 3 peratus daripada KDNK.

Beliau berkata, pada 2015 kutipan hasil Kerajaan Persekutuan diunjurkan sebanyak RM235.2 bilion, peningkatan RM10.2 bilion berbanding 2014, manakala hasil kutipan daripada GST pada 2015 dianggarkan sebanyak RM23.2 bilion.

Kerajaan mengecualikan mengecualikan beberapa barangan daripada GST berjumlah RM3.8 bilion, manakala pemansuhan SST akan menyaksikan kehilangan hasil sebanyak RM13.8 bilion.

Najib berkata, kerajaan akan mempunyai baki hasil berjumlah RM5.6 bilion selepas ditolak RM3.8 bilion dan RM13.8 bilion. Daripada jumlah itu, RM4.9 bilion disalurkan kembali kepada rakyat melalui pakej-pakej bantuan seperti BR1M.

Dengan itu, hasil bersih kutipan GST hanya berjumlah RM690 juta, kata Najib membentangkan Bajet 2015 di Parlimen sebentar tadi.

Berita Harian X