Selasa, 30 September 2014 | 8:43pm
Mustapa diberi penerangan mengenai kegiatan Penyelidikan dan Pembangunan ketika melawat kemudahan LG Electronics di Incheon hari ini.
Mustapa diberi penerangan mengenai kegiatan Penyelidikan dan Pembangunan ketika melawat kemudahan LG Electronics di Incheon hari ini.

Syarikat Korea mahu tambah pelaburan di Malaysia - Mustapa

SEOUL: Tiga syarikat Korea Selatan yang menjadi antara penyumbang pelaburan langsung asing (FDI) terbesar negara itu ke Malaysia bercadang menambah dan mempelbagaikan pelaburan sedia ada mereka di negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata tiga syarikat berkenaan iaitu Lotte Group, Hanwah Group dan Kiswire Ltd yang jumlah FDI terkumpul mereka mencecah AS$3.6 bilion (RM11.1 bilion) menyuarakan rancangan itu dalam sesi pertemuannya dengan kapten industri Korea hari ini.

Syarikat terbabit bukan saja ingin menambah pelaburan dalam aktiviti perniagaan sedia ada, tetapi juga bercadang menerokai perniagaan yang berlainan daripada yang diceburi sekarang seperti perhotelan, resort, insurans dan kesihatan.

"Mereka sangat berpuas hati dengan operasi di Malaysia dan ia petanda baik ke arah mempromosikan negara sebagai destinasi pelaburan, selain keyakinan pelabur Korea terhadap kestabilan Malaysia," katanya selepas sesi lawatan ke LG Electronics di Incheon, hari ini.

Lotte Group sudah melabur AS$2 bilion menerusi anak syarikatnya, Lotte Chemical Sdn Bhd di Pasir Gudang, Johor yang terbabit dengan industri petro kimia, manakala Hanwha Group yang mengambil alih syarikat panel solar Jerman, QCell Sdn Bhd dan Kiswire yang terbabit dalam pengeluaran wayar keluli dan keluli karbon, masing-masing melabur sebanyak AS$100 juta dan AS$500 juta.

Seramai 47 delegasi dan lapan syarikat Malaysia menyertai misi perdagangan dan pelaburan dua hari ke Korea bermula semalam dan di Jepun mulai esok hingga 4 Oktober.

Sementara itu, Mustapa berkata, lapan syarikat Korea Selatan berminat menjalin kerjasama dengan syarikat Malaysia meneroka pasaran halal global.

Syarikat terbabit yang sudah mendapat pengiktirafan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mengenal pasti usaha sama yang boleh dijayakan bersama syarikat Malaysia dalam industri makanan & minuman (F&B).

"Tumpuan utama syarikat Korea terbabit ialah meneroka pasaran Asia Barat," katanya.

Mustapa berkata, lapan syarikat Korea terbabit menjalankan aktiviti pengeluaran beras dimasak, kimchi, rumpai laut kering, tepung gandum, garam buluh dan teh sitron.

Berita Harian X