X
Selasa, 30 September 2014 | 7:32pm

Tesco dan CIMB perkenal pembelian dalam talian, Plug n Pay

Fischer (kanan) dan Datuk Tengku Zafrul pada pelancaran perkhidmatan pembelian dalam talian Tesco, Plug n Pay dengan kerjasama CIMB Bank. - Foto Salhani Ibrahim
Fischer (kanan) dan Datuk Tengku Zafrul pada pelancaran perkhidmatan pembelian dalam talian Tesco, Plug n Pay dengan kerjasama CIMB Bank. - Foto Salhani Ibrahim

PETALING JAYA: Tesco Stores Malaysia Sdn Bhd (Tesco) mengunjurkan menerima 10,000 hingga 30,000 tempahan pembelian dalam talian seminggu, berbanding purata 4,000 tempahan seminggu ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Georg Fischer, berkata peningkatan tempahan itu dijangka disumbangkan oleh pembukaan dua lagi hab baharu pengedaran produk di kawasan utara dan selatan Kuala Lumpur, membabitkan pelaburan RM1 juta.

Ketika ini, syarikat menerima 5,000 tempahan pembelian dalam talian seminggu melalui penghantaran dari tujuh hab pengedaran produk sekitar Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

"Kami yakin pembukaan dua lagi hab baharu berkenaan dapat meningkatkan jumlah pembelian dalam talian, sekali gus memberi lebih banyak manfaat kepada pelanggan.

"Sejak pembelian dalam talian diperkenalkan Tesco setahun lalu, 15 peratus daripada pelanggan kami terdiri daripada pelanggan baharu," katanya selepas pelancaran perkhidmatan pembelian dalam talian terbaharu "Plug n Pay" di sini hari ini.

Perkhidmatan 'Plug n Pay' adalah pertama seumpamanya di Malaysia yang menggunakan penyelesaian berasaskan cip 'mobile point-of-sale' (mPOS).

Ia memudahkan pelanggan Tesco mengendalikan pembayaran elektronik menggunakan telefon pintar atau tablet dan CIMB adalah bank pertama memperkenalkan aplikasi berkenaan.

Yang turut hadir, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Mengulas perkembangan pasaran perkhidmatan pembelian dalam talian, Fischer berkata, syarikat akan meninjau peluang pasaran di Ipoh dan Melaka menjelang akhir tahun depan.

"Permintaan pembelian dalam talian daripada kalangan pelanggan Tesco sangat baik dan kita berusaha untuk rangkaian itu di Ipoh dan Melaka demi keselesaan pelanggan.

"Perkhidmatan pembelian dalam talian Tesco menyediakan kira-kira 18,000 pilihan barangan keperluan harian," katanya.

Berita Harian X