Selasa, 30 September 2014 | 6:36pm

Penyatuan fiskal dijangka teras Bajet 2015

KUALA LUMPUR: Bajet 2015, yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dijangka masih kekal sebagai belanjawan pengembangan tetapi kerajaan dijangka meningkatkan usaha ke arah penyatuan fiskal dengan sasaran mencapai bajet seimbang pada 2020.

Untuk bajet tahun depan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini sudah menjelaskan bahawa tumpuan adalah kepada pertumbuhan ekonomi, menambah baik kedudukan fiskal kerajaan dan mempertingkatkan taraf hidup.

Mengikut nota penyelidikan yang dikeluarkan United Overseas Bank (M) Bhd (UOB), selain mengumumkan baki projek pembangunan lain yang masih berbaki di bawah RMK-10 termasuk lapangan terbang, pelabuhan dan keretapi, ada kemungkinan bajet tahun depan memasukkan langkah tambahan untuk menangani kenaikan kos kepada isi rumah dan perniagaan terutama dengan pelaksanaan GST April depan.

Walaupun kerajaan mungkin mengumumkan rancangan rumah mampu milik, ada kebimbangan lebih banyak langkah menyederhanakan sektor hartanah bagi membendung peningkatan berterusan hutang isi rumah turut diperkenalkan.

"Antara elemen lain yang perlu diberi perhatian ialah langkah pengukuhan fiskal terutama yang berkaitan dengan mekanisme subsidi khusus kepada golongan sasaran," kata bank itu.

Dalam pada itu, bank itu berpendapat dengan pelaksanaan GST, inflasi dijangka naik kepada 4 peratus pada 2015 daripada unjuran tiga peratus pada 2014 manakala kesan asas yang tinggi serta faedah yang naik akan menjejaskan unjuran pertumbuhan.

Bagaimanapun, mungkin ada pelepasan cukai dalam bajet untuk mengurangkan kesan jangka pendek cukai baharu itu, selain daripada pengumuman pemotongan kadar cukai pendapatan individu serta korporat.

Sehubungan itu, UOB menjangkakan program pemberian tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disasarkan kepada isi rumah dengan pendapatan rendah dijangka dinaikkan lagi pada tahun depan.

Bagi perusahaan kecil dan sederhana, tumpuan adalah menangani kos tinggi dan pertumbuhan yang agak perlahan melalui galakkan produktiviti.

Selepas pelancaran GST pada 2015, kerajaan dijangka tidak akan mengurangkan usaha penyatuan fiskalnya, kata bank itu.

"Berikutan bahan api menelan bahagian yang besar dalam perbelanjaan bajet, kami menjangkakan kerajaan memberi fokus kepada pembaharuan skim subsidi bahan api dan rancangan ini akan diumumkan pada bajet ini," kata UOB.

UOB mengunjurkan defisit dijangka berada di bawah tiga peratus daripada Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) pada 2015 berbanding jangkaan 3.5 peratus pada 2014.

Berita Harian X