Khamis, 18 September 2014 | 6:56pm

Jualan kenderaan pada Ogos naik kepada 51,125 unit

KUALA LUMPUR: Sentimen pengguna yang positif memacu jualan kenderaan lebih tinggi kepada 51,125 unit pada Ogos berbanding 51,106 unit yang dijual dalam bulan sama tahun lalu, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Jualan dalam segmen kenderaan komersial bertambah kepada 6,227 unit daripada 6,052 unit pada tahun lalu manakala jualan segmen kenderaan penumpang susut kepada 44,898 unit berbanding 45,054 unit yang dicatatkan pada Ogos 2013.

MAA berkata hingga kini tahun ini, jumlah jualan keseluruhan industri meningkat 2.7 peratus kepada 444,534 unit daripada 433,025 unit yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pengeluaran kenderaan komersial dan penumpang pada bulan lalu meningkat kepada 43,784 unit daripada 37,548 unit yang dicatatkan pada Ogos tahun lalu, kata MAA.

Pengeluaran kenderaan komersial naik kepada 3,937 unit berbanding 3,789 unit sebelum ini, manakala kenderaan penumpang meningkat kepada 39,847 unit berbanding 33,759 unit yang dikeluarkan pada bulan yang sama tahun lalu.

Mengenai prospek, MAA berkata jumlah jualan bagi September dijangka lebih baik daripada Ogos disebabkan pengenalan model baharu dan kesinambungan kempen promosi yang agresif oleh syarikat kereta. - BERNAMA

Berita Harian X