Selasa, 2 September 2014 | 2:10pm

Peserta industri sarung tangan perlu terokai pasaran global

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencuba sarung tangan getah buatan Novax selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa Ke 7 di Kuala Lumpur Convention Centre. Turut serta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti, Datuk Amar Douglas Uggah Embas (tengah). - Foto Azmaidi Abidin
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencuba sarung tangan getah buatan Novax selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa Ke 7 di Kuala Lumpur Convention Centre. Turut serta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti, Datuk Amar Douglas Uggah Embas (tengah). - Foto Azmaidi Abidin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa penggiat industri sarung tangan getah supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang pasaran global yang semakin luas, dengan terus memainkan peranan dinamik dalam memenuhi keperluan terbabit.

Timbalan Perdana Menteri berkata penggiat industri itu seharusnya mampu menstrategikan semula model perniagaan masing-masing secara berkesan dan menjadi peneraju pasaran.

"Kerajaan sememangnya sentiasa menyokong pembangunan menyeluruh sektor getah Malaysia, yang sudah banyak menyumbang kepada agenda sosio ekonomi negara.

"Untuk itu perhatian khusus dan pelbagai insentif dikenal pasti dan diagihkan kepada industri sarung tangan getah tempatan bagi membantu membangunkan ekosistem yang berkesan," katanya dalam ucaptama pada perasmian Persidangan dan Pameran Antarabangsa Sarung Tangan Getah 2014 kali ketujuh di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Lim Kwee Shyan.

Muhyiddin berkata tahun lalu Malaysia mengeksport produk getah bernilai RM14.5 bilion dan angka bagi sarung tangan getah bernilai RM10.5 bilion.

Untuk itu beliau berkata jumlah pendapatan eksport bagi industri itu meningkat 282 peratus iaitu daripada RM3.33 bilion pada 2012.

"Hari ini, eksport sarung tangan getah dari Malaysia berjumlah hampir 80 peratus daripada pendapatan eksport sektor produk getah.

"Ia adalah sesuatu yang dibanggakan apabila sarung tangan getah Malaysia kekal kompetitif, dan dieksport ke lebih 190 negara. Negara ini turut menyumbang 54 peratus daripada nilai eksport global bernilai AS$6.2 bilion (RM19.6 bilion)," katanya.

Muhyiddin berkata perkembangan positif dalam industri sarung tangan getah tempatan ini memenuhi agenda kemakmuran sosial dan ekonomi negara.

"Saya dimaklumkan bahawa produktiviti tahunan setiap pekerja dalam sektor ini meningkat daripada 500,000 sarung tangan pada 1998 kepada 2.6 juta pada 2014.

"Berikutan peningkatan produktiviti ini, pendapatan eksport setiap pekerja juga meningkat daripada RM51,000 pada 1993 kepada RM265,000 setahun pada 2013," katanya.

Muhyiddin juga berkata industri itu pada 2014 dijangka menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 41,000 pekerja.

Sementara itu, Lim dalam ucapannya berkata MARGMA yakin permintaan untuk sarung tangan getah akan terus meningkat antara lapan hingga 12 peratus.

"Pada kadar ini, kami mengunjurkan permintaan untuk sarung tangan getah akan melebihi 300 bilion unit dalam tempoh kurang dari 10 tahun atau sebelum 2020," katanya.

Persidangan tiga hari itu yang bertema 'menjangkaui kawalan penyakit,' menghimpunkan 104 syarikat daripada industri sarung tangan dan sokongan dari 25 negara Eropah, Asia dan Amerika Utara dan Selatan.

Acara itu berperanan sebagai platform untuk pemegang kepentingan termasuk pengawal atur, bertukar pandangan seperti pembaharuan dalam teknologi pemprosesan, inovasi produk, teknologi hijau dan beberapa teknologi canggih lain yang berkaitan pengeluaran produk. - BERNAMA

Berita Harian X