Isnin, 25 Ogos 2014 | 2:26pm
DATUK Ahmad Maslan ketika membentangkan laporan kewangan 2013 KWAP di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Asman Ibrahim
DATUK Ahmad Maslan ketika membentangkan laporan kewangan 2013 KWAP di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Asman Ibrahim

Dana KWAP naik kepada RM99.92 bilion tahun lalu

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) merekodkan prestasi kewangan kukuh sepanjang 2013 yang menyaksikan saiz dananya meningkat RM11.19 bilion atau 12.61 peratus, daripada RM88.73 bilion pada 2012 kepada RM99.92 bilion tahun lalu.

Hingga akhir Disember 2013, KWAP mencatat pendapatan pelaburan kasar RM6.66 bilion, meningkat RM910 juta atau 15.83 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, RM5.75 bilion.

Pulangan atas pelaburan (ROI) kasar keseluruhan tahun lalu ialah 7.05 peratus, mengatasi ROI 6.84 peratus pada 2012 serta lebih baik berbanding pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun lalu pada 4.7 peratus.

Sejak ditubuhkan pada 2007, KWAP mencatatkan purata ROI kasar kira-kira enam peratus setahun.

Prestasi cemerlang itu yang dibentangkan dalam Laporan Kewangan 2013 KWAP, dicapai agensi itu melalui strategi pelaburan berdisiplin yang dilaksanakan melalui Peruntukan Aset Strategik sejajar dengan objektif jangka panjangnya.

Laporan kewangan 2013 KWAP dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, berkata KWAP menyasar meningatkan saiz dana kepada RM110 bilion tahun ini, selepas mencapai RM107 bilion pada separuh pertama 2014.

"Kami yakin dapat melepasi sasaran itu sebanyak RM1 bilion atau RM2 bilion lagi," katanya.

Dalam aspek pelaburan, beliau berkata, KWAP akan memuktamadkan pembelian dua hartanah komersial dalam negara sebelum akhir tahun ini.

Pembelian hartanah di Kuala Lumpur itu mencerminkan tumpuan pelaburan KWAP tahun ini kepada pasaran domestik.

"Dari segi pelaburan, KWAP masih lagi mahu mempelbagaikan portfolio di luar negara, namun pada masa ini persekitaran pasaran global adalah agak mencabar.

"Adalah sukar untuk mendapatkan peluang pembelian yang menepati kriteria pelaburan KWAP di luar negara ketika ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, urus niaga pertama membabitkan pembelian sebuah hartanah komersial yang masih belum dibina manakala aset kedua pula dibida KWAP bersama beberapa pihak lain.

Rancangan pembelian itu menandakan pelaburan hartanah sulung KWAP di dalam negara selepas memiliki atau memiliki bersama tujuh hartanah di United Kingdom (UK) serta Australia.

Jun lalu, KWAP memuktamadkan pembelian hartanah ketiganya di UK dengan membayar RM955 juta bagi memiliki 80 peratus pemilikan pusat beli belah Intu Uxbridge di barat London.

KWAP sebelum itu membeli hartanah 10 Gresham Street pada Oktober 2012 bernilai STG200 juta (RM1.05 bilion) dan 88 Wood Street bernilai STG215 juta (RM1.13 bilion) pada April tahun lalu.

Kumpulan persaraan sektor awam itu memiliki empat lagi hartanah di Australia.

Sementara itu, Wan Kamaruzaman berkata KWAP yakin dapat mencapai sasaran pulangan atas pelaburan (ROI) sekurang-kurangnya 5.5 peratus pada tahun ini di sebalik persekitaran yang mencabar dalam semua portfolio pelaburannya.

Berita Harian X