Selasa, 19 Ogos 2014 | 5:50pm

Kerajaan gesa lebih banyak syarikat besar sertai VDP - Mustapa

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berhasrat meningkatkan penyertaan syarikat besar tempatan dalam Program Pembangunan Vendor (PPV) Bumiputera.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata PPV adalah sistem berstuktur yang tidak berat sebelah, menggalakkan syarikat utama dan vendor bersama-sama memainkan peranan masing-masing dalam mengembangkan perniagaan mereka.

"Menerusi bimbingan daripada syarikat utama serta bantuan kerajaan, vendor bukan saja mampu berjaya di pasaran domestik, malah mampu menembusi pasaran antarabangsa," katanya selepas majlis memeterai pelaksanaan PPV Bumiputera antara MITI dengan syarikat induk tempatan di sini, hari ini.

PPV ialah antara strategi untuk mengukuhkan bidang keusahawanan dan perniagaan Bumiputera di bawah Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Menerusi fokus itu, MITI diberikan peranan sebagai unit pemantauan pusat bagi pelaksanaan PPV Bumiputera.

Pada majlis itu, sebanyak 10 syarikat induk muncul kumpulan pertama menyertai PPV Bumiputera yang bermatlamat merealisasikan agenda kerajaan untuk memperkasa ekonomi Bumiputera.

Syarikat berkenaan ialah Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Sime Darby Bhd, UEM Group Bhd, Celcom Axiata Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Telekom Malaysia Bhd (TM), Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd, Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM) dan Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON).

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri MITI, Datuk Ir Hamim Samuri dan Datuk Lee Chee Leong serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria.

Mustapa berkata, MoU antara MITI dan 10 syarikat induk itu membuktikan kerjasama dan gandingan yang strategik dalam memperkasa ekonomi Bumiputera.

"Saya harap dengan kerjasama padu antara MITI dan syarikat induk, hasrat kerajaan untuk melahirkan usahawan Bumiputera yang berjaya akan dapat direalisasikan," katanya.

MoU itu menggariskan dengan lebih jelas peranan yang perlu dimainkan oleh MITI, syarikat induk dan syarikat vendor dalam melaksanakan PPV.

Menerusi PPV, syarikat induk berperanan penting dalam mengenal pasti bidang, aktiviti atau komponen perniagaan serta perkhidmatan yang berpotensi ditawarkan kepada vendor yang layak menyertai PPV.

Syarikat induk juga perlu memberikan keutamaan dari segi perolehan kumpulan kepada syarikat vendor di samping memberi bimbingan teknikal, khidmat nasihat dan audit bagi membolehkan mereka mencapai tahap daya saing di pasaran terbuka.

Pada masa sama, syarikat induk perlu membantu dan membuka peluang kepada syarikat vendor untuk menyertai pasaran global menerusi peluasan perniagaan atau perkongsian di luar negara.

MITI sebagai unit pemantauan pusat berperanan melaksanakan segala dasar, strategi dan hala tuju pelaksanaan dalam sektor pengilangan atau perkhidmatan meliputi aspek pembangunan vendor, pembiayaan dan latihan.

Kementerian itu juga bertanggungjawab merancang, memantau, mengkaji dan menilai keberkesanan pelaksanaan PPV.

Di pihak syarikat vendor pula perlu memastikan tahap kualiti produk, kos, reka bentuk dan penghantaran (QCDD) yang memenuhi spesifikasi serta terma ditetapkan oleh syarikat induk.

Syarikat vendor juga perlu mengikuti program penambahbaikan serta peningkatan dalam aspek berkaitan yang dianjurkan MITI atau agensi kerajaan lain dan syarikat induk dari semasa ke semasa.

PPV bakal dimeterai dengan lima lagi syarikat utama dalam sektor perkhidmatan pada hujung tahun ini. Rundingan dengan kelima-lima syarikat utama berkenaan dijangka dimuktamadkan Oktober ini.

Berita Harian X