Rabu, 1 Oktober 2014 | 10:45am
Hospital Presbyterian di Dallas di mana seorang pesakit dikesan menghidapi virus Ebola pertama di Amerika Syarikat. - Foto AFP
Hospital Presbyterian di Dallas di mana seorang pesakit dikesan menghidapi virus Ebola pertama di Amerika Syarikat. - Foto AFP

Amerika Syarikat catat kes pertama Ebola

DALLAS: Seorang pesakit yang baru pulang dari Liberia disahkan sebagai kes pertama Ebola di Amerika Syarikat.

Pegawai Kesihatan Persekutuan berkata, lelaki yang tidak dinamakan itu kini dalam keadaan kritikal dan diasingkan di Hospital Kesihatan Presbyterian sejak Ahad lalu. Mereka tidak mendedahkan kewarganegaraan atau umurnya.

Pihak berkuasa mula mencari anggota keluarga dan rakan yang mungkin mengadakan hubungan dengannya dan menghadapi risiko untuk dijangkiti.

Bagaimanapun setakat ini tiada kes lain yang disyaki di Texas.

Pengarah Pusat Kawalan Penyakit (CDC), Tom Frieden berkata lelaki terbabit yang meninggalkan Liberia pada 19 September lalu, tiba untuk menziarahi saudara maranya di sini dan mula jatuh sakit empat atau lima hari kemudian.

Frieden berkata, setakat ini tiada maklumat jelas bagaimana dia dijangkiti dengan Ebola.

Katanya, penumpang lain dalam penerbangan bersamanya juga tidak menghadapi risiko jangkitan kerana ketika itu dia tidak menunjukkan sebarang simptom Ebola.

Simptom Ebola ialah demam, sakit otot, muntah dan perdarahan, dan keadaan ini boleh berlarutan sehingga 21 hari selepas terdedah kepada virus berkenaan.

Penyakit itu tidak mudah berjangkit sehingga ia menunjukkan simptom dan memerlukan hubungan dan cecair badan untuk merebak.

Presiden Barack Obama dimaklumkan mengenai kes pertama ini menerusi panggilan telefon oleh Frieden.

Sebelum ini empat pekerja bantuan Amerika Syarikat yang dijangkiti di Afrika Barat diterbangkan balik ke Amerika untuk rawatan selepas mereka jatuh sakit. Mereka dijaga di pusat pengasingan di hospital Atlanta dan Nebraska. Tiga sudah pun pulih.

Seorang doktor yang terdedah dengan virus berkenaan di Sierra Leone juga diletakkan di bawah pemerhatian di pusat sama di Institut Kesihatan Nasional. - AP

Berita Harian X