Rabu, 1 Oktober 2014 | 9:18am

Askar Lubnan yang diculik anggota jihad dibebaskan

BEIRUT: Seorang askar Lubnan yang diculik dua minggu lalu oleh anggota jihad di sempadan Syria dibebaskan lewat semalam.

Jurucakap tentera yang mengesahkan pembebasan itu berkata, askar terbabit, Kamal al-Hujairi sedang menziarahi keluarganya di Wadi Hmeid apabila dia diculik pada pertengahan bulan lalu.

Adalah tidak jelas kumpulan mana yang menculiknya, atau kenapa dia dibebaskan.

Anggota jihad daripada kumpulan Negara Islam (IS) dan Barisan al-Nusra sebelum ini pernah bertempur dengan tentera Lubnan di Arsal.

Mereka berundur berikutan gencatan senjata di kawasan berbukit di pinggir bandar dan menculik puluhan anggota tentera dan polis sebagai tebusan.

Askar yang dibebaskan itu bukan kalangan tebusan berkenaan yang mana tiga daripada mereka sudah dibunuh.

Keluarga askar dan polis yang diculik semakin resah dan mengadakan bantahan di seluruh negara setiap hari dengan menghalang jalan raya dalam usaha untuk menarik perhatian terhadap nasib saudara-mara mereka.

Rundingan bagi pembebasan anggota keselamatan yang diculik Ogos lalu itu masih berjalan dan media Lubnan melaporkan satu delegasi dari Qatar kini menyambung semula usaha untuk memastikan askar terbabit dapat kembali dengan selamat.

Tentera Lubnan masih bertempur dengan anggota jihad di Arsal dan serangan ke atas anggota kawalan di kawasan terbabit mengorbankan dua askar dan mencederakan tiga yang lain pada 19 September lalu. - AFP

Berita Harian X