Isnin, 29 September 2014 | 9:27am
Polis anti keganasan menembak gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan terdiri daripada pelajar yang memenuhi jalan raya di sekeliling ibu pejabat kerajaan di Hong Kong awal pagi ini. - Foto AP
Polis anti keganasan menembak gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan terdiri daripada pelajar yang memenuhi jalan raya di sekeliling ibu pejabat kerajaan di Hong Kong awal pagi ini. - Foto AP

Polis tembak gas pemedih mata kepada penunjuk perasaan di Hong Kong

HONG KONG: Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata berkali-kali dalam pertempuran dengan puluhan ribu penunjuk perasaan yang mendesak supaya Beijing memberi hak sepenuhnya kepada pengundi dalam pilihan raya pemimpin Hong Kong.

Keadaan seperti itu jarang berlaku di hab kewangan antarabangsa berkenaan, di mana orang ramai menghadapi anggota polis antikeganasan dalam tunjuk perasaan besar-besaran.

Pemimpin bantahan mengingatkan penunjuk perasaan itu supaya berundur dan menyelamat nyawa mereka sekiranya pihak polis mula menembak peluru getah.

"Ini soal hidup atau mati. Jika nyawa mereka terancam mereka patut berundur dan menyelamatkan nyawa masing-masing," kata Profesor Chan Kin-man, pengasas bersama kumpulan bantahan itu, 'Occupy Central group'.

Penunjuk perasaan berteriak "Malu" kepada anggota polis yang kebanyakannya memakai topeng dan berpakaian kalis keganasan, ketika mereka cuba melindungi diri daripada gas pemedih mata yang kali terakhir digunakan di Hong Kong pada 2005.

Penunjuk perasaan enggan berganjak dengan tuntutan mereka untuk mendapatkan hak mengundi sepenuhnya selepas Beijing menyatakan ia membenarkan pilihan raya bagi memilih pemimpin bandar raya itu pada 2017 tetapi akan menapis senarai calonnya terlebih dulu - satu keputusan yang dianggap sebagai 'demokrasi palsu'. -AFP

Berita Harian X