Selasa, 4 Julai 2017 | 11:12am

Krisis Korea Utara boleh jadi tak terkawal

DUTA China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Liu Jieyi. - Foto AFP
DUTA China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Liu Jieyi. - Foto AFP

NEW YORK: Duta China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Liu Jieyi mengingatkan kuasa dunia isu Korea Utara boleh menjadi tidak terkawal jika mereka gagal mencari jalan penyelesaian.

Jieyi membuat kenyataan itu sehari selepas Presiden Donald Trump bercakap menerusi telefon dengan Presiden China, Xi Jinping, mengenai ancaman ujian peluru berpandu dan nuklear Pyongyang.

"Pada masa ini, keadaan sangat tegang dan kita mahu lihat ia mengendur.

"Jika ketegangan semakin memuncak, lambat laun ia tidak dapat dikawal dan akibatnya sangat buruk," katanya di ibu pejabat PBB apabila China mengambil alih jawatan presiden Majlis Keselamatan bulan ini.

China mendesak rundingan diadakan bagi menghentikan program nuklear Korea Utara selepas sekutunya itu melancarkan dua lagi ujian nuklear tahun lalu dan siri ujian peluru berpandu balistik.

Cadangan Beijing untuk membekukan program ketenteraan Pyongyang sebagai pertukaran penggantungan latihan tentera Amerika Syarikat dan Korea Selatan, gagal mendapat sambutan.

AS menegaskan ia terbuka untuk berunding dengan Korea Utara jika ia menggantung ujian nuklear dan peluru berpandunya terlebih dahulu.

Menggambarkan krisis dengan Korea Utara sebagai 'amat, amat, amat serius', Jieyi berkata 'pihak lain perlu lebih menerima dan menyokong cadangan itu'. - AFP

Berita Harian X