Jumaat, 14 November 2014 | 11:22am
Imej yang dicapai daripada video dimuat naik ke laman web militan pada 5 Julai lalu menunjukkan pemimpin Negara Islam (IS), Abu Bakr al-Baghdadi ketika menyampaikan khutbah Jumaat di sebuah masjid di Iraq. - Foto AP
Imej yang dicapai daripada video dimuat naik ke laman web militan pada 5 Julai lalu menunjukkan pemimpin Negara Islam (IS), Abu Bakr al-Baghdadi ketika menyampaikan khutbah Jumaat di sebuah masjid di Iraq. - Foto AP

IS keluarkan rakaman suara Baghdadi selepas khabar angin kematiannya

BAGHDAD: Kumpulan Negara Islam (IS) mengeluarkan rakaman suara ketuanya, Abu Bakr al-Baghdadi selepas serangan udara ke atas pemimpin jihad terbabit di Iraq menimbulkan khabar angin dia mengalami kecederaan atau terbunuh.

Dalam mesej selama 17 minit itu, lelaki yang didakwa sebagai Baghdadi itu berikrar bahawa IS, yang sudah menguasai sebahagian besar kawasan di Iraq dan Syria, akan terus mengembangkan kegiatannya walaupun dengan adanya serangan udara, dan musuhnya akan didorong supaya turun berperang di darat.

"Jangan risau wahai saudara Muslim, Negara Islam berada dalam keadaan baik. Kemaraannya tidak akan henti dan ia akan terus berkembang," kata lelaki berkenaan dalam rakaman itu, yang suaranya adalah seperti suara Baghdadi tetapi identitinya tidak dapat disahkan.

"Tidak lama lagi golongan Yahudi dan Mubaligh terpaksa turun ke darat dan menghantar pasukan darat mereka untuk menghadapi kematian dan kemusnahan," katanya.

Mesej itu adalah yang pertama dikatakan daripada Baghdadi sejak sebuah video dikeluarkan Julai lalu, sejurus selepas IS mengisytiharkan 'pemerintahan Khalifah' di tempat tertentu di Iraq dan Syria ketika pemimpin jihad terbabit menyampaikan khutbah Jumaat di Mosul di utara Iraq. - AFP

Berita Harian X