Khamis, 23 Oktober 2014 | 10:36am
Wartawan video Amerika Syarikat, Ashoka Mukpo (tengah) yang sembuh daripada jangkitan Ebola, bergambar dengan Dr Levy (kiri) dan rakannya Helen Finlay di Pusat Perubatan Nebraska semalam. - Foto AP

Jumlah jangkitan Ebola cecah 10,000 di Afrika Barat

GENEVA: Jumlah mangsa yang dijangkiti Ebola sudah mencecah hampir 10,000 orang di Afrika Barat, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO menyatakan 9,936 orang di Guinea, Liberia dan Sierra Leone - tiga negara yang menjadi pusat wabak Ebola yang paling teruk - sudah dijangkiti penyakit itu.

Secara keseluruhan, 4,877 orang sudah meninggal dunia akibat penyakit berkenaan setakat ini.

Ketika pakar memberi amaran bahawa kadar jangkitan boleh mencapai 10,000 seminggu pada awal Disember, penyelidik di seluruh dunia sedang berusaha untuk melawan penyakit terbabit, yang sehingga kini masih belum mempunyai rawatan berlesen atau vaksin.

Angka itu dikeluarkan ketika WHO mengadakan mesyuarat kecemasan pusingan ketiga mengenai Ebola di Geneva semalam, bagi membincang usaha bagi melawan penyakit demam tropikal itu.

Sementara itu beberapa dos vaksin eksperimen 'rVSV' bagi melawan penyakit Ebola tiba di Hospital Universiti Geneva dari Kanada semalam.

WHO akan menyelaraskan percubaan vaksin itu di Geneva, bersama vaksin yang juga terdapat di Jerman, Gabon dan Kenya.

Vaksin itu, yang diusahakan di Makmal Mikrobiologi Nasional di Winnipeq, adalah satu daripada dua vaksin eksperimen Ebola yang dikesan memberi reaksi baik ketika diuji pada monyet.

Penolong Ketua Pengarah WHO, Marie-Paule Kieny berkata matlamatnya adalah untuk menghantar bekalan ke Afrika menjelang awal 2015. - AFP

Berita Harian X