Rabu, 15 Oktober 2014 | 10:30am
PRESIDEN Amerika Syarikat Barack Obama (kiri) dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe akan mengadakan perbincangan menerusi telefon pagi ini mengenai beberapa isu semasa dunia termasuk Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPP) dan wabak Ebola. - Foto AFP
PRESIDEN Amerika Syarikat Barack Obama (kiri) dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe akan mengadakan perbincangan menerusi telefon pagi ini mengenai beberapa isu semasa dunia termasuk Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPP) dan wabak Ebola. - Foto AFP

Obama, Abe bincang isu TPP, Ebola menerusi telefon pagi ini

TOKYO: Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe akan mengadakan perbincangan menerusi telefon pagi ini mengenai beberapa isu semasa dunia termasuk Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPP) dan wabak Ebola.

Agensi berita Jiji memetik pegawai Jepun sebagai mengesahkan bahawa kedua-dua pemimpin berkenaan akan berbual menerusi telefon pada pagi ini waktu Tokyo.

Penularan terbaru wabak Ebola, yang sudah mengorbankan lebih 4,000 orang, sebahagian besarnya di Afrika Barat, juga menimbulkan kebimbangan di peringkat global mengenai kemungkinan virus berkenaan merebak ke negara lain di peringkat antarabangsa.

Jurucakap Rumah Putih berkata Obama juga akan mengadakan sidang video dengan pemimpin Britain, Perancis, Jerman dan Itali hari ini bagi membincang mengenai Ebola serta isu antarabangsa lain.

Jepun masih belum menghadapi kes Ebola, sementara di Amerika Syarikat seorang lelaki warga Liberia maut akibat jangkitan virus berkenaan. Seorang jururawat yang berjangkit daripada lelaki terbabit dikatakan kini berada dalam keadaan baik.

Perbincangan mengenai perdagangan AS-Jepun, yang dianggap penting bagi persetujuan TPP, tertangguh ketika diadakan di Washington bulan lalu berikutan kebuntuan berhubung tarif bagi produk perladangan.

Obama menyatakan harapan beliau agar persetujuan TPP iatu akan dicapai menjelang penghujung tahun ini, sesuatu yang disangsikan oleh pakar ekonomi. - REUTERS

Berita Harian X