Sabtu, 20 Mei 2017 | 9:02pm

Mangsa potong zakar perogol

- Foto hiasan
- Foto hiasan

NEW DELHI: Seorang lelaki menerima padah apabila zakarnya dipotong wanita yang cuba dirogolnya di rumah mangsa di negeri Kerala, selatan India.

Pelajar jurusan undang-undang berusia 23 tahun itu berada di kediamannya di ibu negeri Thiruvananthapuram lewat semalam apabila diserang lelaki berusia 54 tahun, yang mendakwa dirinya ialah guru agama.

"Mangsa menggunakan pisau untuk mempertahankan diri dan memotong zakar lelaki itu.

"Lelaki berkenaan, Hari Swami, dikejarkan ke hospital berdekatan dalam keadaan serius," kata ketua polis daerah, G Sparjan Kumar.

Media tempatan melaporkan Swami berada dalam keadaan stabil selepas dirawat.

Mangsa mendakwa lelaki itu sudah mengganggunya selama beberapa tahun.

Polis berkata, ibu bapa gadis itu yang tinggal di rumah sama tidak menyedari serangan dilakukan Swami.

"Wanita itu memberitahu kami ibu bapanya amat mempercayai Swami, dan kerap dijemput melakukan upacara khas dan bermalam di rumah mereka, dan menyerangnya," kata Kumar.

Berita Harian X