Rabu, 17 Mei 2017 | 7:39am
PELANCARAN ujian senjata balistik Pyongyang. - Foto REUTERS
PELANCARAN ujian senjata balistik Pyongyang. - Foto REUTERS

Majlis Keselamatan PBB ketat sekatan terhadap Pyongyang

NEW YORK (PBB): Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tertutup, semalam, bagi membincangkan tindakan untuk mengetatkan lagi sekatan terhadap Korea Utara, susulan pelancaran ujian senjata balistik terbaharunya.

Duta Amerika Syarikat (AS) ke PBB, Nikki Haley, berkata AS dengan kerjasama sekutu penting Pyongyang, iaitu China sedang merangka resolusi sekatan terbaharu itu.

Pada masa sama, beliau memberi amaran supaya semua negara mesti meningkatkan tekanan ke atas Korea Utara atau berdepan dengan tindakan.

"Kita semua perlu memberi amaran kepada Korea Utara dan mengatakan 'Tiada lagi, ini bukan masa untuk bermain. Ini adalah serius. Ancaman ini tidak dialu-alukan'," kata Haley kepada pemberita menjelang mesyuarat itu.

Walaupun mendesak satu pendirian tegas diambil, Haley tidak menolak kemungkinan satu rundingan diadakan dengan Korea Utara.

"Kami sedia berunding tetapi tidak sehingga kami melihat pemberhentian sepenuhnya proses pembangunan nuklear dan ujiannya dilancarkan di sana (Korea Utara)," kata Haley. - AFP

Berita Harian X