Isnin, 8 Mei 2017 | 12:17pm

Presiden Nigeria jumpa bekas tawanan

PRESIDEN Nigeria, Muhammadu Buhari melahirkan rasa gembira dengan pembebasan 82 pelajar perempuan Chibok oleh militan Boko Haram. - Foto AFP
PRESIDEN Nigeria, Muhammadu Buhari melahirkan rasa gembira dengan pembebasan 82 pelajar perempuan Chibok oleh militan Boko Haram. - Foto AFP

ABUJA: Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari, hari ini, melahirkan rasa gembira dengan pembebasan 82 pelajar perempuan Chibok oleh militan Boko Haram.

"Kami sentiasa menyatakan dengan jelas bahawa kami akan melakukan segala-galanya dengan kuasa yang ada, untuk membebaskan dan memastikan anak-anak perempuan kita serta semua yang ditawan oleh Boko Haram kembali dengan selamat," katanya menerusi akaun Twitter.

Namun, beberapa minit kemudian, presiden berusia 74 tahun itu mengejutkan rakyatnya apabila mengumumkan pemergiannya ke London.

Muhammadu yang tidak menghadiri mesyuarat Kabinet selama tiga minggu berturut-turut, menghabiskan masa selama enam minggu di London kerana cuti sakit pada awal tahun ini, namun punca penyakitnya masih tidak jelas.

"Tiada apa yang perlu dibimbangkan," menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya mengenai cuti sakit terbaharu Muhammadu itu.

Kenyataan itu turut menyebut tempoh presiden itu berada di London akan ditentukan oleh doktornya.

Sementara itu, beberapa keping gambar yang dikeluarkan oleh kerajaan menunjukkan Muhammadu menyampaikan ucapan kepada pelajar perempuan Chibok di kediaman rasminya, malam tadi, iaitu sehari selepas mereka dibebaskan.

"Presiden amat gembira untuk menerima kunjungan mereka dan berjanji untuk melakukan apa yang sepatutnya supaya mereka dapat kembali menjalani hidup seperti biasa.

"Presiden juga berjanji beliau sendiri akan memantau proses pemulihan semua pelajar ini," kata penasihatnya, Femi Adesina. - AP

Berita Harian X