Ahad, 23 April 2017 | 10:01pm

Askar Filipina dipenggal Abu Sayyaf

MANILA: Seorang anggota tentera yang diculik Abu Sayyaf di selatan Filipina dijumpai dalam keadaan kepalanya dipenggal, beberapa jam selepas pasukan keselamatan membunuh tiga anggota militan dalam satu serangan di lokasi berbeza.

Komander Pasukan Penguatkuasa Bersama Sulu, Brig Jeneral Cirilito Sobejana berkata, kepala milik Sarjan Anni Siraji dari Batalion Ke32 Infantri ditemui pada jarak 50 meter dari mayatnya di pekan Patikul di Sulu.

Beliau berkata, Siraji berkemungkinan besar diculik dan dipenggal kerana terbabit dalam proses keamanan di Sulu.

"Mangsa terbabit dalam proses keamanan namun bukan pertempuran. Khidmatnya digunakan untuk berunding dengan militan itu kerana berbangsa Tausug seperti kebanyakan anggota Abu Sayyaf," katanya.

Terdahulu, tentera dilapor berjaya membunuh tiga anggota Abu Sayyaf di sebuah resort di pulau Bohol yang menjadi lokasi persembunyian mereka selepas cubaan menculik beberapa pelancong tidak berjaya.

Pasukan kerajaan masih melancarkan operasi memburu dua atau tiga anggota militan yang masih bebas di Bohol.

Ketua Pejabat Hal Ehwal Awam Tentera, Kolonel Edgard Arevalo berkata, pihaknya menerima laporan bahawa militan yang masih bebas itu mengalami kecederaan dan kehabisan beberapa bekalan asas. - Reuters

Berita Harian X