Ahad, 23 April 2017 | 12:11am

AS, Australia sepakat selesai isu penempatan pelarian

NAIB Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence (kiri) dan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull. - Foto Reuters
NAIB Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence (kiri) dan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull. - Foto Reuters

SYDNEY: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence dan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull menamatkan pertikaian berhubung satu perjanjian era Obama membabitkan penempatan semula pelarian.

Kedua-dua wakil negara sekutu lama itu turut menggesa China memainkan peranan lebih besar dalam memberi tekanan kepada Korea Utara supaya menghentikan program senjata nuklear dan peluru berpandu.

Pence dan Turnbull berulang kali memuji pakatan berdekad-dekad AS dan Australia, susulan satu pertemuan di Sydney, semalam.

Naib Presiden AS itu turut menyampaikan harapan tertinggi Presiden Donald Trump dan mengucapkan terima kasih kepada Turnbull kerana menggesa Beijing supaya lebih aktif dalam usaha antarabangsa membendung ancaman nuklear Pyongyang.

Pence semalam berkata, AS akan menunaikan perjanjian penempatan semula pelarian yang dimeterai dengan bekas Presiden Barack Obama.

Di bawah perjanjian itu, AS akan mengambil sehingga 1,250 pelarian yang di tempatkan di beberapa kem tahanan Australia di negara pulau Pasifik, iaitu Nauru dan Papua New Guinea.

Sebelum ini, pertikaian membabitkan perjanjian menjejaskan hubungan erat AS dan Australia.

Majoriti rakyat Australia juga tidak menyukai Trump, ada pengkritik menggesa Australia menjauhkan diri daripada AS dan memilih China.

"Walaupun apa pengecualian Presiden, keputusan ini menunjukkan komitmen, integriti Presiden dan pentadbiran untuk menunaikannya," kata Turnbull dalam satu sidang media bersama dengan Pence, semalam.

AP

Berita Harian X