Khamis, 23 March 2017 | 9:43pm

Kiev salahkan Kremlin

BEKAS penggubal undang-undang komunis, Denis Voronenkov yang ditembak. - Foto AFP
BEKAS penggubal undang-undang komunis, Denis Voronenkov yang ditembak. - Foto AFP

KIEV: Seorang bekas ahli parlimen Russia yang dikehendaki Moscow kerana penipuan, ditembak mati di khalayak di pusat ibu negara Ukraine, hari ini dalam kejadian yang Kiev gelarkan 'keganasan politik.'

Ketua Polis Kiev, Andriy Kryshchenko ketika memberi komen di televisyen mengesahkan bahawa 'lelaki yang mati itu' bekas penggubal undang-undang komunis, Denis Voronenkov.

Polis mengaitkan kejadian itu dengan keganasan dan tidak menolak kemungkinan Voronenkov menjadi sasaran pembunuh upahan 'mengambil kira identiti mangsa,' kegiatannya dan bagaimana pembunuhan itu dilakukan," kata Kryshchenko.

Pengawal peribadi Voronenkov dan lelaki bersenjata terbabit cedera dalam kejadian tembakan pada jam 11.30 waktu tempatan di pusat bandar ibu negara Ukraine.

Presiden Ukraine, Petro Poroshenko menyalahkan Russia dan menganggap kejadian itu sebagai 'pembunuhan licik,' kata jurucakapnya, Svyatoslav Tsegolko dalam Facebook.

Sementara itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov ketika memberi komen kepada agensi berita Russia, menafikan tuduhan Kiev dan menganggapnya sebagai tidak masuk akal.

Voronenkov mendapat status warga negara Ukraine pada Disember lalu selepas beliau memberi keterangan terhadap bekas Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych, yang digulingkan pada Februari 2014. - AFP

Berita Harian X