Sabtu, 18 March 2017 | 11:10pm

Trump kutuk Berlin sehari selepas jumpa Merkel

 PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. - Foto AP
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. - Foto AP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menuduh Jerman berhutang dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Amerika Syarikat untuk aspek pertahanan negara itu.

Tuduhan itu dibuat hanya sehari selepas Trump mengadakan pertemuan kali pertama dengan Canselor Jerman, Angela Merkel, di Rumah Putih, semalam.

Kedua-dua pemimpin dilihat menunjukkan sedikit persamaan berhubung beberapa isu penting khususnya NATO dan perbelanjaan pertahanan.

Hari ini, Trump dalam akaun Twitter miliknya menulis: "Jerman berhutang wang yang banyak kepada NATO & AS perlu dibayar lebih untuk pertahanan yang sangat mahal dan hebat yang diberi kepada Jerman!"

Pada sidang akhbar bersama semalam, Trump yang mengkritik NATO dengan gelaran 'usang' menuntut rakan sekutu ketenteraannya itu membayar semula sejumlah besar wang kepada Washington.

Markel pula berkata, Jerman komited untuk meningkatkan perbelanjaan ketenteraan kepada dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu untuk NATO.

Hubungan AS dan Jerman sedikit bergolak berikutan kecaman keras Trump terhadap Merkel yang membenarkan kemasukan pelarian ke Jerman.

Menurut Trump, keputusan dibuat Merkel itu adalah satu malapetaka yang akan memusnahkan Jerman.

Ahli perniagaan terkemuka itu turut menyelar laporan media.

"Walau apa pun yang kamu dengar daripada BERITA PALSU, pertemuan dengan Canselor Jerman, Angela Merkel adalah sesuatu yang sangat hebat," katanya dalam Twitter. - AFP

Berita Harian X