Sabtu, 18 March 2017 | 12:12pm

Trump, Merkel tidak bersalaman

CANSELOR Jerman, Angela Merke dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump . - Foto REUTERS
CANSELOR Jerman, Angela Merke dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump . - Foto REUTERS

WASHINGTON: Perbezaan ketara antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Canselor Jerman, Angela Merkel dalam banyak perkara membabitkan perdagangan hingga imigresen terserlah pada pertemuan sulung mereka di Rumah Putih, semalam.

Pada sidang media bersama dalam suasana janggal, Trump dan Merkel menunjukkan persamaan ketika mereka menyuarakan beberapa isu hangat termasuk Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), perbelanjaan pertahanan dan perjanjian perdagangan bebas.

Sepanjang pertemuan selama 30 minit di bilik Timur, Merkel menunjukkan wajah tegang ketika Trump menyentuh soal sekutu NATO yang tidak menyumbang secara adil dalam perjanjian pertahanan rentas Atlantik dan menuntut perjanjian dua hala yang adil.

Canselor veteran Jerman itu tiba dalam cuaca bersalji di Rumah Putih dengan harapan memulihkan hubungan selepas retorik pilihan raya berapi Trump.

Pertemuan bermula dengan berjabat tangan di pintu masuk Rumah Putih. Bagaimanapun, ketika duduk bersebelahan di pejabat Oval, Trump tidak mengendahkan pelawaan Merkel untuk berjabat tangan - suasana janggal yang amat jarang berlaku dalam majlis yang sudah diatur.

Suasana itu menggambarkan hubungan yang sukar antara Canselor Jerman berkenaan yang lebih berhati-hati berbanding Presiden AS yang suka bertindak mengikut naluri. - AFP

Berita Harian X