Sabtu, 18 March 2017 | 1:01am

42 pendatang Somalia ditembak di perairan Yaman

LEBIH 40 pendatang Somalia, termasuk wanita dan kanak-kanak, ditembak mati di atas bot di perairan Yaman di Laut Merah, hari ini. - Foto AP
LEBIH 40 pendatang Somalia, termasuk wanita dan kanak-kanak, ditembak mati di atas bot di perairan Yaman di Laut Merah, hari ini. - Foto AP

ADEN: Lebih 40 pendatang Somalia, termasuk wanita dan kanak-kanak, ditembak mati di atas bot di perairan Yaman di Laut Merah, hari ini.

Pihak berkuasa berkata, tidak jelas siapa yang melakukan serangan kejam itu.

Seorang pegawai di Hodeiba berkata, pelarian terbabit diserang menggunakan senjata ringan di perairan ditawan pemberontak, namun bot itu berjaya berlabuh di pelabuhan bandar.

Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) yang beroperasi di Yaman berkata, 42 mayat ditemui.

Pihak berkuasa pelabuhan berkata, puluhan rakyat Somalia yang terselamat dalam serangan serta tiga penyeludup rakyat tempatan, dibawa ke penjara bandar itu.

Lebih 30 pendatang yang cedera dilaporkan dibawa ke hospital.

Agensi dikawal pemberontak Saba menuduh pakatan diketuai Arab Saudi menentang pemberontakan, menyerang pelarian dari udara, namun tidak memberi butiran lanjut.

Jurucakap tentera pakatan, Mejar Jeneral Ahmed Assiri, menolak tuduhan itu dan memaklumkan AFP, tenteranya tidak terbabit dalam pertempuran di Hodeida.

Tidak jelas jika pelarian terbabit cuba sampai ke Yaman atau mendapatkan perlindungan di negara itu, namun IOM percaya, bot itu menuju ke Sudan.

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) berkata, 140 penumpang dipercayai menaiki bot terbabit. - AFP

Berita Harian X