Ahad, 5 March 2017 | 11:42pm

3 terbunuh insiden tembakan di Kashmir

ASAP tebal kelihatan di sebuah rumah dipercayai diduduki militan di satu kawasan perkampungan di Nazneenpora. - Foto EPA
ASAP tebal kelihatan di sebuah rumah dipercayai diduduki militan di satu kawasan perkampungan di Nazneenpora. - Foto EPA

SRINAGAR: Seorang pegawai polis dan dua orang disyaki militan, terbunuh di wilayah Kashmir dalam satu kejadian berbalas tembak hari ini.

Berita itu turut mencetus satu tunjuk perasaan anti-India di kalangan penduduk Islam di wilayah yang menjadi perebutan dengan negara jiran, Pakistan.

Menurut ketua polis, S P Vaid, tentera kerajaan mengepung sebuah rumah semalaman dipercayai diduduki oleh militan di satu kawasan perkampungan di Nazneenpora.

Katanya, pertempuran itu bermula selepas beberapa militan dilaporkan membaling bom tangan serta melepaskan tembakan senapang automatik untuk meloloskan diri daripada sekatan keselamatan.

Dua militan dan seorang polis yang bertugas terbunuh manakala sekurang-kurangnya tiga pegawai keselamatan lain, termasuk seorang pegawai tentera cedera.

Namun, tiada kumpulan pemberontak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung insiden itu setakat ini. - AP

Berita Harian X