Ahad, 5 March 2017 | 8:19am

Tentera Filipina jumpa mayat tebusan Jerman

GAMBAR fail, Ketua Pengarah Polis Kebangsaan Filipina (PNP), ronal Dela Rosa (tengah) bercakap pada sidang media di sebuah kem polis di Quezon City, timur laut Manila, Filipina, pada 27 Februari lalu. - Foto EPA
GAMBAR fail, Ketua Pengarah Polis Kebangsaan Filipina (PNP), ronal Dela Rosa (tengah) bercakap pada sidang media di sebuah kem polis di Quezon City, timur laut Manila, Filipina, pada 27 Februari lalu. - Foto EPA

MANILA: Tentera Filipina semalam menemui mayat tebusan Jerman yang dipenggal militan Islam minggu lalu.

Rangkaian Abu Sayyaf yang beroperasi di selatan Filipina, membunuh Jurgen Kantner, 70, selepas tuntutan mendapatkan tebusan 30 juta peso (RM2.6 juta) tidak dipenuhi.

Pegawai tentera berkata, pasukan marin menemui mayat Kantner petang kelmarin di kubu kuat militan di Sulu, lebih 1,000 kilometer ke selatan Manila.

"Pasukan Tentera Filipina terus dengan usaha untuk menghantar mayat mangsa ke negaranya bagi membolehkan beliau mendapat pengebumian sempurna," kata jurucakap tentera, Kolonel Edgard Arevalo.

Kapal layar Kantner, Rockall, ditemui hanyut pada 7 November lalu di selatan Filipina dengan mayat teman wanita mangsa, Sabine Marz, yang ditembak berada di dalamnya.

Abu Sayyaf mendakwa melakukan penculikan itu.

Mayat Kantner berada di rumah mayat hospital tentera di Sulu ketika pegawai menyiapkan dokumen untuk menghantar pulang mayat itu, kata pihak berkuasa.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, meminta maaf Selasa lalu kerana gagal menyelamatkan Kantner dan berkata tentera meningkatkan operasi menghapuskan militan.

AGENSI

Berita Harian X