Selasa, 28 Februari 2017 | 8:55pm

Duterte mohon maaf gagal selamat mangsa penggal Abu Sayyaf

RAKAMAN video menunjukkan Kantner dibunuh lelaki bersenjatakan pisau kerana tidak memenuhi tuntutan wang tebusan sebanyak 30 juta peso (RM2.6 juta). - Foto AP
RAKAMAN video menunjukkan Kantner dibunuh lelaki bersenjatakan pisau kerana tidak memenuhi tuntutan wang tebusan sebanyak 30 juta peso (RM2.6 juta). - Foto AP

MANILA: Presiden Rodrigo Duterte memohon maaf kepada kerajaan Jerman dan keluarga mangsa kerana gagal menyelamatkan Jurgen Kantner, 70, yang dipenggal anggota Abu Sayyaf Ahad lalu.

Bagaimanapun, katanya, tidak wajar membayar wang tebusan kepada militan berkenaan.

"Kami sudah mencuba yang terbaik untuk menyelamatkan mangsa. Tentera sudah dikerah dalam operasi menyelamatkan, tetapi kami gagal. Itu kami kami akui, " katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Duterte berkata, bayaran wang tebusan tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya menggalakkan anggota Abu Sayyaf melakukan lebih banyak penculikan pada masa depan.

"Jika anda mengalah dan membayar, lebih ramai lagi akan menjadi mangsa dan ia tidak akan berakhir," kata Duterte.

Video yang dikirim militan Abu Sayyaf dan dipantau SITE Intelligence Ahad lalu menunjukkan Kantner dibunuh lelaki bersenjatakan pisau kerana tidak memenuhi tuntutan wang tebusan sebanyak 30 juta peso (RM2.6 juta).

AFP

Berita Harian X