Sabtu, 25 Februari 2017 | 7:20am

Rumah Putih sekat CNN, New York Times hadiri sidang media

WASHINGTON: Rumah Putih hari ini menghalang beberapa agensi media termasuk CNN, New York Times, Politico dan Los Angeles Times daripada menghadiri taklimat media tanpa kamera yang dikendalikan jurucakap Sean Spicer.

Ia sekali gus mencetuskan satu lagi kontroversi membabitkan hubungan pentadbiran Trump dengan media.

The Wall Street Journal yang menghadiri taklimat itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai pengecualian itu.

"Jika kami mengetahui mengenainya ketika itu, kami tidak akan menyertainya dan tidak akan menghadiri sebarang taklimat tertutup pada masa akan datang," katanya.

Tiada wartawan The Washington Post hadir pada ketika itu.

Wartawan CNN, Sara Murray yang sempat ke udara menggambarkan apa yang berlaku.

"Kami berbaris. Kami diberitahu senarai awal sudah ditetapkan dan itu di luar kebiasaan tetapi kami tetap mendaftarkan nama.

"Kemudian ketika cuba masuk, saya dihalang oleh seorang kakitangan Rumah Putih yang berkata kami tidak tersenarai untuk menyertai taklimat media hari ini," katanya.

Timbalan Pengarah Komunikasi Rumah Putih, Raj Shah, menegaskan tindakan itu tiada kena mengena dengan sebarang isu berbangkit.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Sean Spicer sebelum ini pernah mengkritik idea mengehadkan akses media ke Rumah Putih.

Dua bulan lalu, dalam satu perbincangan panel, beliau berkata akses terbuka kepada media adalah "apa yang menjadikan demokrasi itu sebuah demokrasi berbanding pemerintahan diktator."

Namun sejak kebelakangan ini, presiden dilihat semakin kritikal terhadap apa yang disifatkannya sebagai "berita media palsu".

Beberapa jam sebelum taklimat media akses terhad itu, ucapan Trump pada Persidangan Tindakan Politik Konservatif lebih menumpu untuk menghentam media.

"Beberapa hari lalu, saya menggelar berita media palsu sebagai musuh rakyat, dan ia terbukti. Mereka adalah musuh rakyat," kata Trump. - Washington Post

Berita Harian X