Rabu, 15 Februari 2017 | 4:18pm

Rundingan damai Syria di Astana, ditangguh esok

WAKIL khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Syria, Staffan de Mistura. - Foto Reuters
WAKIL khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Syria, Staffan de Mistura. - Foto Reuters

ASTANA: Rundingan damai bagi membincangkan krisis di Syria yang membabitkan Russia, Iran dan Turki yang dijadualkan berlangsung di sini, hari ini, ditangguhkan esok.

Keputusan itu diumumkan Menteri Luar Kazakhstan tanpa memberi sebarang alasan berhubung penangguhan itu.

Pada Isnin lalu, puak pemberontak Syria masih belum mengesahkan kehadiran pada sesi rundingan itu, dan menuduh Russia gagal memaksa Damsyik supaya mematuhi perintah gencatan senjata yang dipersetujui bersama.

Minggu lalu, Kazakhstan yang juga sekutu rapat Moscow berkata, rundingan damai itu akan memberi fokus kepada usaha menguatkuasakan gencatan senjata di Syria.

Yang turut dijemput menghadiri rundingan damai itu ialah wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Syria, Staffan de Mistura.

Delegasi mewakili Damsyik dan puak pemberontak yang menghadiri pusingan pertama rundingan damai di Astana, bulan lalu tidak menandatangani sebarang perjanjian.

Rundingan damai tajaan PBB bakal diadakan di Geneva, minggu depan.

Reuters

Berita Harian X