Isnin, 13 Februari 2017 | 10:32pm

20 terbunuh pertempuran di Yaman

ADEN: Seramai 20 anggota pemberontak dan tentera kerajaan terbunuh dalam pertempuran ketika kumpulan bertelagah itu beralih ke utara sepanjang pesisir pantai barat Yaman.

Menurut sumber perubatan dan kerajaan hari ini, pertempuran semula itu berlaku di bandar pesisiran pantai Midi dan Mokha yang terletak di utara dan selatan pelabuhan utama Hodeida di Laut Merah. Ia berlaku sehari selepas tentera kerajaan merampas penguasaan di kawasan berhampiran.

"Angka kematian pagi ini berjumlah 14 orang, membabitkan pemberontak Houthi dan enam anggota tentera setia kepada Presiden Abedrabbo Mansour Hadi," kata satu sumber tentera yang enggan namanya disiarkan.

Sementara itu, sumber hospital di Hodeida mengesahkan sekurang-kurangnya lapan terkorban dalam pertempuran itu.

Tentera setia kepada Presiden Yaman yang disokong negara bersekutu diketuai Arab Saudi memasuki bandar pelabuhan bersejarah Mokha akhir bulan lalu sebagai usaha mengusir pemberontak Syiah Houthi dari kawasan terbabit.

Tentera kerajaan berjaya merampas pelabuhan Mokha pada awal Februari lalu dan kini berusaha merampas pelabuhan utama Hodeida yang masih di bawah penguasaan pemberontak Houthi. - AFP

BANGUNAN yang musnah selepas dibedil dalam serangan udara di Hodeida, Yaman. - Foto fail AFP
BANGUNAN yang musnah selepas dibedil dalam serangan udara di Hodeida, Yaman. - Foto fail AFP

Berita Harian X