Isnin, 6 Februari 2017 | 11:25pm

Runtuhan salji sempadan Afghanistan-Pakistan ragut 119 nyawa

KEADAAN salji di wilayah Ghazni. - Foto AFP
KEADAAN salji di wilayah Ghazni. - Foto AFP

ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 119 orang dilaporkan maut akibat runtuhan salji di sempadan Afghanistan dan Pakistan, kata pegawai rasmi kerajaan.

Menteri Pengurusan Bencana dan Hal-Ehwal Kemanusiaan, Wais Ahmad Barmak, berkata sekurang-kurangnya 89 orang cedera dan 190 buah rumah musnah dalam runtuhan salji di beberapa wilayah terjejas.

Katanya, angka korban mungkin meningkat ketika pasukan penyelamat bertungkus-lumus memulihkan jalan yang dilitupi salji untuk ke wilayah terjejas.

Kebanyakan mangsa terkorban adalah penduduk di wilayah Nuristan yang terletak berhampiran sempadan Pakistan, susulan dua perkampungan dilaporkan ditimbus oleh salji.

Jurucakap Barmak, Omer Mohammadi, berkata setakat ini pasukan penyelamat menemui 48 mayat dari perkampungan terjejas dan kira-kira 1,000 hektar ladang musnah akibat bencana itu.

Omer berkata, pihaknya terpaksa mengambil sedikit masa sebelum boleh memberikan laporan penuh berhubung kerosakan akibat kejadian itu.

"Kerja membersihkan jalan yang dilitupi salji akan mengambil masa beberapa hari berikutan salji melanda di wilayah berbeza," katanya.

Semalam, kerajaan Afghanistan mengisytiharkan cuti umum susulan salji tebal di seluruh negara itu. - AP

Berita Harian X