Ahad, 5 Februari 2017 | 12:06am

20 mati ditimbus salji runtuh di Afghanistan

KABUL: Sekurang-kurangnya 20 orang mati disebabkan runtuhan salji dan cuaca sejuk melampau di Afghanistan dan pasukan penyelamat masih berusaha untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap di bawah timbunan salji.

Runtuhan salji berlaku susulan salji tebal turun selama tiga hari, memusnahkan rumah dan menutup laluan di wilayah tengah dan timur laut negara itu.

Jurucakap wilayah Badakhshan, Naweed Frotan, berkata sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh termasuk tiga wanita dan dua kanak-kanak selepas rumah mereka tertimbus oleh runtuhan salji.

"Berpuluh lagi masih terperangkap dan kami cuba untuk menyelamatkan mereka dan beberapa jalan masih tersekat," katanya.

Jurucakap Wilayah Sari Pul, Zabiullah Amani berkata sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam kejadian salji runtuh di daerah Balkhab di utara Afghanistan dan kira-kira 70 yang terperangkap berjaya diselamatkan.

"Kebanyakan laluan Balkhab masih tersekat dan kami berusaha untuk membuka," katanya. - AFP

Berita Harian X