Selasa, 31 Januari 2017 | 7:04pm

Pengebom kanak-kanak `meletup' di kem pelarian

KANO: Seorang kanak-kanak perempuan dianggarkan berusia 10 tahun, maut selepas jaket letupan yang dipakainya meletup di timur laut Nigeria, hari ini.

Saksi, Musa Ahmad yang bekerja dengan tentera bagi memerangi militan Boko Haram berkata, insiden itu berlaku kira-kira jam 11.30 pagi waktu tempatan berhampiran sempadan Cameroon di Borno.

"Seorang kanak-kanak perempuan sekitar usia 10 tahun datang ke berek tentera dan cuba melintas jalan untuk ke kem pelarian tempatan.

"Tentera mengarahkannya berhenti, namun tidak diendahkan. Selepas mengancam untuk menembaknya, kanak-kanak itu patuh dan diminta membuka hijab.

"Dia mematuhi arahan dan tentera menemui bahan letupan dilekatkan pada tubuhnya.

"Namun, secara tiba-tiba, budak perempuan itu menarik picu dan meletup," kata Ahmad sambil menambah tiada mangsa lain cedera.

Ia adalah cubaan kedua di kem itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada 18 Januari lalu, seorang wanita muda dan remaja lelaki ditembak apabila enggan berhenti untuk diperiksa dan meletup di luar kem.

Dalam kejadian berasingan, seorang jemaah maut apabila pengebom meletupkan diri dalam sebuah masjid di Dalori, pinggir Maiduguri, ketika solat Subuh - AFP

Berita Harian X