Selasa, 31 Januari 2017 | 7:16am

Daesh serang pangkalan udara, 14 askar Syria terbunuh

BEIRUT: Sekurang-kurangnya 14 tentera Syria terbunuh dalam serangan sengit oleh militan Daesh di lapangan terbang tentera di timur laut Damsyik pada Isnin, lapor kumpulan pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Pemerhati yang berpangkalan di Britain itu berkata kumpulan pemberontak mula melancarkan serangan sehari sebelumnya berhampiran lapangan terbang Dumeir, kira-kira 40 kilometer dari ibu negara, sekali gus menawan semula beberapa kedudukan di kawasan yang pernah dikuasai tentera Syria.

Militan Daesh menguasai kawasan yang luas di timur Syria, termasuk sebahagian besar wilayah Deir al-Zor dan ibu negara de facto Syria di Raqqa.

Ia turut menawan kembali bandar bersejarah Palmyra, kira-kira 200 kilometer dari Damsyik untuk kali kedua pada Disember sepanjang konflik Syria yang tercetus sejak enam tahun lalu, sekali gus mengusir tentera kerajaan yang pernah menawannya dengan bantuan tentera Russia pada Mac lalu.

Pemberontak Daesh, yang mengisytiharkan pemerintahan khalifah di seluruh kawasan utara Iraq dan timur Syria selepas menguasai rantau itu pada 2014, tewas di tangan tentera kerajaan di kubu kuat mereka di Mosul, Iraq. - Agensi

Berita Harian X