Selasa, 31 Januari 2017 | 6:59am

Arab Saudi akan laksanakan VAT

ARAB Saudi sudah bersedia melaksanakan Cukai Nilai Tambah (VAT). - Foto gulfnews.com
ARAB Saudi sudah bersedia melaksanakan Cukai Nilai Tambah (VAT). - Foto gulfnews.com

RIYADH: Arab Saudi sudah bersedia melaksanakan Cukai Nilai Tambah (VAT), kata Kabinet negara itu, pada Isnin selepas memberikan kelulusan terakhir kepada langkah percukaian itu yang bakal dilaksanakan mulai tahun depan.

Kabinet mengambil keputusan meluluskan Perjanjian Bersepadu untuk VAT dilaksanakan di seluruh enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), lapor agensi berita rasmi Saudi Press Agency.

"Satu Perintah Diraja sedang disiapkan," katanya.

Cukai sebanyak lima peratus akan dikenakan terhadap barangan tertentu susulan satu perjanjian dengan GCC, Jun lalu.

Tindakan itu sejajar dengan cadangan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) supaya negara Teluk mengenakan langkah menambah pendapatan termasuk daripada cukai eksais dan cukai nilai tambah.

Langkah itu penting dalam usaha menyesuaikan keadaan dengan harga minyak mentah yang rendah sehingga menyebabkan pertumbuhan ekonomi serantau lemah.

Tahun ini, negara GCC sudah bersetuju mengenai cukai ke atas barangan terpilih seperti produk tembakau serta minuman ringan dan tenaga. - AFP

Berita Harian X