Jumaat, 27 Januari 2017 | 11:38am

27 kanak-kanak maut akibat kesejukan

SEORANG kanak-kanak lelaki membawa bekas air kosong dalam cuaca sejuk di pinggir Kabul. - Foto Reuters
SEORANG kanak-kanak lelaki membawa bekas air kosong dalam cuaca sejuk di pinggir Kabul. - Foto Reuters

KABUL: Seramai 27 kanak-kanak berusia lima tahun maut, semalam akibat salji tebal dan cuaca sejuk di daerah terpencil di utara Afghanistan.

Pihak berkuasa melahirkan rasa bimbang kemungkinan jumlah mangsa meningkat ketika suhu mencecah -10 darjah Celcius.

Ketika ini, jalan raya di Darzaab di wilayah Jawzjan dihalang salji setebal 50 sentimeter hingga menyekat laluan penduduk kampung untuk mendapatkan rawatan.

Gabenor daerah, Rahmatullah Hashar, berkata kes kematian itu dilaporkan berlaku sejak dua atau tiga hari lalu.

"Semua kanak-kanak berusia bawah lima tahun," katanya sambil menambah keadaan jalan raya yang tersekat akibat dilitupi salji tebal menyumbang kepada peningkatan jumlah kematian.

Jumlah kematian itu disahkan jurucakap Gabenor Jawzjan, Reza Ghafoori. Beliau berkata, bantuan segera akan diedarkan menerusi jawatankuasa bencana.

Sementara itu, salji tebal dan runtuhan salji membunuh ramai penduduk Afghanistan pada setiap musim sejuk.

Pada 2015, runtuhan salji menyebabkan 300 orang mati di seluruh negara dan kebanyakannya di wilayah pergunungan di Panjshir, utara Kabul.

Namun, usaha menyelamat mangsa akibat runtuhan salji atau banjir akibat salji cair pada musim bunga, kerap dihalang masalah kekurangan peralatan.

Selain itu, infrastruktur yang teruk menjadikan pasukan penyelamat sukar tiba di kawasan terpencil. - AGENSI

Berita Harian X