Jumaat, 27 Januari 2017 | 9:19am

Paderi dipenjara laku penderaan seksual 2 budak Afrika

SEBAHAGIAN keluarga berehat di sisi barang peribadi mereka ketika mendapat perlindungan dari keganasan keagamaan di Gereja Katolik di Bossangao, utara ibu negara Banguiin, Republik Afrika Tengah pada 29 Disember 2013. - Foto hiasan
SEBAHAGIAN keluarga berehat di sisi barang peribadi mereka ketika mendapat perlindungan dari keganasan keagamaan di Gereja Katolik di Bossangao, utara ibu negara Banguiin, Republik Afrika Tengah pada 29 Disember 2013. - Foto hiasan

PARIS: Mahkamah Perancis, semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas seorang paderi, selepas didapati bersalah melakukan penderaan seksual terhadap dua kanak-kanak di Afrika Tengah.

Paderi itu juga diharamkan daripada melakukan sebarang aktiviti membabitkan kerjayanya yang memerlukannya berhubung dengan golongan bawah umur.

Terdahulu, pada 2011, dia bersalah terhadap satu kes penderaan dalam surat yang dikemukakan kepada pihak pendakwaan di tengah Perancis, Clermont-Ferrand.

Hasil siasatan mendapati kes itu membabitkan empat mangsa. Namun, hanya identiti dua mangsa kanak-kanak berjaya dikesan, berikutan meletusnya perang saudara di Afrika Tengah, pada 2013.

Paderi itu bertugas di Afrika Tengah sejak 2007 dengan hasrat membina hospital untuk kemudahan penduduk, selain menentang amalan sihir dalam kalangan masyarakat.

Difahamkan, seorang mangsa ialah anak yatim berusia 12 tahun yang memaklumkan kejadian itu kepada rakannya, sebelum memberitahu guru besar sekolah mengenai insiden berkenaan.

Paderi itu mengaku melakukan jenayah itu di Bangui, ibu negara Afrika Tengah, ketika membuat pengakuan kepada Paderi Besar Clermont-Ferrand sekembalinya beliau di Perancis, sebelum menulis surat kepada pendakwa raya.

Tentera Perancis tiba di Republik Afrika Tengah pada Disember 2013, di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengekang keganasan di wilayah itu.

Bagaimanapun, operasi tentera Perancis berakhir secara rasmi pada Oktober tahun lalu. Mereka menghadapi tekanan hebat berhubung dakwaan merogol kanak-kanak. - AFP

Berita Harian X