ASTANA, Kazakhstan: Rundingan damai Syria ditutup di sini, dengan Iran, Russia dan Turki bersetuju mengenai penubuhan mekanisme tiga hala untuk menyokong gencatan senjata di negara itu dan memantau kemungkinan ia dicabuli.
Kenyataan bersama terakhir, yang dibacakan oleh Menteri Luar Kazakhstan, Kairat Abdrakhmanov petang semalam, menggariskan kepentingan mengekalkan kedaulatan negara Syria.
Ketiga-tiga negara menegaskan, tiada penyelesaian ketenteraan untuk konflik di Syria sebaliknya ia hanya boleh diselesaikan melalui proses politik berdasarkan pelaksanaan penuh Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) 2254.
Semua negara terbabit turut bersetuju untuk merumuskan satu perjanjian tiga hala dengan matlamat untuk menyelia gencatan senjata di negara Arab bagi menjamin komitmen semua pihak terhadap gencatan senjata Syria dan mencegah kemungkinan pelanggaran gencatan senjata.
Dalam perkembangan berkaitan, kenyataan itu menyebut, Iran, Russia dan Turki menyokong penyertaan pembangkang bersenjata Syria dalam rundingan Syria yang ditaja PBB, dijadual berlangsung di Geneva, Switzerland bulan depan.
Menurut kenyataan itu, ketiga-tiga negara menyokong kesediaan kumpulan pembangkang bersenjata untuk mengambil bahagian dalam pusingan rundingan seterusnya di bawah naungan PBB di Geneva pada 8 Februari ini.
Pembangkang dilaporkan melahirkan rasa tidak puas hati dengan kenyataan itu.
"Kami sudah mengemukakan cadangan gencatan senjata yang berasingan," kata Mohammed Alloush, yang mengetuai delegasi pembangkang Syria. - Agensi