Isnin, 23 Januari 2017 | 9:18am
 BINTANG pop, Madonna. - Foto AP
BINTANG pop, Madonna. - Foto AP

`Letup Rumah Putih' hanya kiasan - Madonna

WASHINGTON: Bintang pop, Madonna, mendakwa kenyataan 'meletupkan Rumah Putih' yang diucapkan pada perarakan wanita, di sini, hanya kiasan.

Ucapan Madonna yang dikritik hebat di media sosial memaksa beberapa rangkaian televisyen menghentikan siaran langsung perarakan itu.

Perarakan itu disertai ratusan ribu penunjuk perasaan bagi membantah pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS).

"Saya bukan seorang yang ganas. Kata-kata itu hanyalah sekadar kiasan dan saya berkongsi cara melihat sesuatu.

"Satu dengan penuh harapan, manakala satu lagi dengan rasa kemarahan, iaitu apa yang saya sedang rasakan," kata penyanyi itu di Instagram.

Ucapan penyanyi berusia 58 tahun itu turut disiarkan di Youtube.

Beberapa penonton menggelar penyanyi itu sebagai 'jahat' dan mendesak beliau disiasat kerana mengeluarkan ancaman keganasan.

Lebih lima juta penunjuk perasaan berarak di seluruh dunia, dengan jumlah yang membanjiri ibu negara AS melebihi jumlah 200,000 penyertaan yang diramalkan pihak penganjur. - REUTERS

Berita Harian X