Sabtu, 21 Januari 2017 | 12:26pm

Rundingan damai di Astana bakal atasi konflik di Syria

ASTANA: Rejim Syria dan puak pembangkang buat kali pertama akan bersemuka di meja rundingan, pada Isnin ini selepas enam tahun peperangan meletus.

Ia adalah langkah diplomatik terbaharu untuk menamatkan permusuhan di negara itu.

Rundingan yang diadakan di sini, bakal menyaksikan delegasi kumpulan pemisah mengadakan perbincangan dengan rejim pimpinan Presiden Bashar al-Assad, dalam inisiatif anjuran Turki, Russia dan Iran.

Walaupun rundingan itu disambut baik semua pihak yang terbabit dalam konflik, delegasi kedua-dua pihak menuju ke Kazakhstan dengan perbezaan matlamat.

Assad menegaskan pemisah perlu meletakkan senjata sebagai pertukaran mendapatkan pengampunan.

Beliau berkata, rundingan memberi keutamaan bagi mencapai perjanjian gencatan senjata.

Namun, Damsyik mendesak penyelesaian politik 'seluruhnya' kepada konflik yang telah mengorbankan lebih 300,000 penduduk dan menyebabkan lebih separuh rakyat negara itu kehilangan tempat tinggal.

Sementara itu, kumpulan pemisah pula memberi tumpuan kepada mengukuhkan perjanjian gencatan senjata di seluruh negara anjuran Moscow dan Ankara bulan lalu.

Duta Syria ke PBB, Bashar al-Jaafari, perunding berpengalaman yang terbabit dalam rundingan di Geneva sebelum ini, akan mengetuai delegasi rejim di Astana.

Yang turut hadir, wakil khas damai PBB ke Syria, Staffan de Mistura, selain wakil dari Russia, Turki dan Iran.

Mohammad Alloush dari kumpulan Jaish al-Islam akan mengetuai delegasi lapan anggota pembangkang dana pemberontak.

Mereka akan dibantu sembilan penasihat undang-undang dan politik yang dilantik kumpulan induk pembangkang, Jawatankuasa Rundingan Tertinggi (HNC).

Namun, kumpulan utama pemisah, Ahrar al-Sham, berkata mereka tidak akan menghadiri rundingan damai di Astana, namun menyatakan sokongan terhadap sebarang keputusan yang diambil wakil pembangkang dalam rundingan itu. - AFP

Berita Harian X