Isnin, 16 Januari 2017 | 9:56am

Trump dakwa Merkel silap

DONALD Trump.
DONALD Trump.

BERLIN: Canselor Jerman Angela Merkel didakwa membuat `kesilapan besar' apabila membenarkan pendatang tanpa dokumen memasuki negara itu.

Pandangan itu dikemukakan Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dalam temuramah dengan akhbar The Times London dan Bild dari Jerman, semalam.

"Saya fikir beliau (Merkel) membuat satu kesilapan amat besar apabila menerima semua pendatang haram," katanya sambil menegaskan beliau amat menghormati pemimpin Jerman itu.

Kira-kira 890,000 pendatang yang kebanyakannya melarikan diri dari Syria, memasuki Jerman pada 2015 selepas Merkel membuka pintu negara itu susulan tekanan besar-besaran ke atas negara di sepanjang laluan Balkan ke Eropah barat.

Kemasukan golongan itu awalnya mencetuskan sokongan menggalakkan, namun kebimbangan akibat tindakan terbabit menjurus kepada peningkatan sokongan antara 10-15 peratus terhadap parti antipendatang, Alternative for Germany.

Seorang Ahli Parlimen (MP) meninggalkan parti pimpinan Merkel, Christian Democratic Union, hujung minggu lalu berhubung dasar pelarian ketika Canselor berkenaan membuat persiapan pemilihan semula akhir tahun ini.

Trump berkata, Jerman belum memberi gambaran jelas mengenai dasarnya susulan serangan pengganas di Berlin pada 19 Disember lalu yang meragut 12 nyawa selepas sebuah trak yang dirampas merempuh pengunjung pasar Krismas.

Suspek Anis Amri, seorang warga Tunisia, memasuki Eropah melalui Itali pada 2011 dan menjalani hukuman penjara empat tahun di sana sebelum didakwa melakukan serangan.

Trump turut menyifatkan ketibaan pelarian besar-besaran pada 2015 sebagai `titisan terakhir yang menjadikan tong melimpah' ketika meyakinkan pengundi Britain supaya menyokong keputusan meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) dalam pungutan suara 24 Jun tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, jutawan hartanah itu memberi jaminan untuk mengadakan perjanjian dagangan pantas dengan Britain serta menawarkan menamatkan sekatan ke atas Russia, selain menyimpulkan meninggalkan EU adalah langkah hebat buat UK. - AFP

Berita Harian X