Sabtu, 14 Januari 2017 | 10:50am

Wanita maut akibat jangkitan 'superbug'

SUPERBUG kebal antibiotik.
SUPERBUG kebal antibiotik.

MIAMI: Seorang wanita berusia 70-an dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman yang kebal semua 26 jenis antibiotik, menurut pegawai kesihatan.

Kejadian itu menimbulkan kebimbangan pihak berkuasa kesihatan mengenai kemungkinan peningkatan 'superbug' yang berbahaya.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) melaporkan, wanita itu pernah dirawat di sebuah hospital di India akibat patah kaki, sebelum meninggal dunia di Nevada, pada September lalu.

Punca kematian dilaporkan akibat sepsis, selain jangkitan bakteria yang dikenali sebagai 'carbapenem-resistant Enterobacteriaceae (CRE)', iaitu kebal terhadap semua jenis antibiotik di pasaran AS.

Sejenis bakteria dalam kumpulan CRE, iaitu Klebsiella pneumoniae ditemui dalam satu daripada luka wanita itu ketika dia dirawat pada Ogos lalu.

Namun, pihak berkuasa masih gagal mengesan bagaimana wanita malang itu boleh dijangkiti bakteria itu.

Menurut pakar, mangsa menjalani beberapa rawatan di India dalam tempoh dua tahun sebelum ini dan kali terakhir pada Jun lalu, akibat patah tulang paha serta pinggul. - AFP

Berita Harian X