Khamis, 29 Disember 2016 | 10:41am

Kren tumbang di Masjidil Haram beroperasi tanpa lesen

KEJADIAN kren tumbang menimpa dinding Masjidil Haram di Makkah September 2015 lalu. - Foto Reuters
KEJADIAN kren tumbang menimpa dinding Masjidil Haram di Makkah September 2015 lalu. - Foto Reuters

JEDDAH: Kren yang tumbang menimpa dinding Masjidil Haram di Makkah September 2015 lalu dan menyebabkan 110 orang maut serta mencederakan 260 yang lain beroperasi tanpa lesen, kata seorang jurutera di sebuah mahkamah dekat sini.

Jurutera berkenaan adalah sebahagian daripada 14 defendan dari Binladen Group yang sedang dibicarakan berhubung insiden itu.

Syarikat yang terbabit dalam projek pembesaran Masjidil Haram itu, memiliki dan mengendalikan projek berkenaan.

Defendan turut berkata kebanyakan pekerja di tapak pembinaan tiada pengetahuan mengenai buku manual yang menjelaskan mengenai kaedah operasi.

"Sebahagian mereka langsung tidak tahu buku ini wujud," katanya.

Setakat ini mahkamah sudah mengadakan empat sesi termasuk meneliti tiga bungkusan mengandungi lebih daripada 2500 muka surat laporan mengenai kes itu.

Menurut sumber mahkamah, defendan berdepan beberapa tuduhan termasuk pelanggaran peraturan keselamatan, kecuaian sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan kepada ramai orang.

Beberapa peguam berkata di bawah sistem Majlis Pertahanan Awam (CDC), hukuman bagi kecuaian adalah mengikut budi bicara yang boleh membawa kepada maksimum penjara enam bulan, denda tidak melebihi SAR30,000 (RM35,850) atau kedua-duanya. - Agensi

Berita Harian X