Rabu, 23 November 2016 | 11:26pm

Merkel tak gembira Trump mahu batal Perjanjian Trans-Pasifik

CANSELOR Jerman Angela Merkel (kanan) mengkritik pelan Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk membatalkan satu perjanjian perdagangan trans-Pasifik. - Foto Reuters
CANSELOR Jerman Angela Merkel (kanan) mengkritik pelan Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk membatalkan satu perjanjian perdagangan trans-Pasifik. - Foto Reuters

BERLIN: Canselor Jerman Angela Merkel hari ini mengkritik pelan Donald Trump untuk membatalkan satu perjanjian perdagangan Trans-Pasifik, memberi amaran, perjanjian akan datang mungkin teruk terjejas.

Dengan satu perjanjian mega dirancang AS-Kesatuan Eropah (EU) digelar TTIP yang dilihat bakal gagal, Merkel meramalkan di masa hadapan "tiada lagi perjanjian dagangan dan mereka tidak memiliki piawaian yang dimiliki perjanjian seperti ini dan TTIP."

"Saya beritahu anda dengan jujur, saya tidak begitu gembira perjanjian trans-Pasifik kini kemungkinan tidak menjadi satu realiti.

"Saya tidak tahu siapa yang akan mendapat manfaat daripadanya dan pada hari ini saya mahu menahan diri daripada membuat sebarang ramalan," kata Merkel.

Pada masa lalu, Merkel berhujah, perjanjian dagangan hanyalah mengurangkan tugas namun gagal menangani isu global seperti piawai alam sekitar, kaedah pengeluaran mapan dan mencegah buruh kanak-kanak.

"Oleh kerana kami mendengar kritikan ini, pada hari ini ada perjanjian dagangan yang memiliki kualiti baharu dan CETA (Perjanjian dagangan EU-Kanada) adalah yang pertama memiliki kualiti baharu.

"Perjanjian dagangan bebas dengan AS tidak mustahil jika ia memiliki standard kualiti yang sama," katanya kepada parlimen Jerman.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama Trump, yang berikrar tidak meratifikasi TPP, perjanjian yang dirunding tanpa lelah di bawah Presiden Barack Obama dengan 11 lagi ekonomi Asia Pasifik dan ditandatangani Februari lalu. -AFP

Berita Harian X